Tuesday 27 March 2018

ISTIQAMAH DALAM AMALAN

09:58 0 Comments
Memulakan sesuatu ibadah dan perkara baik itu dikatakan mudah. Tetapi nak laksanakan secara berterusan itu rumit. Setiap orang ada impian nak jadi baik dan buat kebaikan tetapi nak laksanakan perkara tersebut secara berterusan (istiqamah) sangat-sangat sukar. 

Istiqamah bukan suatu perkara yang mudah nak buat, tak ramai yang mampu nak laksanakan istiqamah dalam kehidupan seharian. Banyak cabaran yang perlu ditempuh dan sememang perlu betul-betul tekad dan selalu berdoa supaya hati tidak berbolak-balik.

Kehidupan di dunia ini sememangnya suatu cabaran yang sukar bagi hambanya yang bertaqwa. Kelekaan dalam menjalani kehidupan sememangnya akan mengundang padah kepada diri kita sendiri. Oleh itu, dalam menjalani kehidupan di dunia ini kecekalan dan kekuatan dalaman adalah sangat penting dalam memastikan diri kita mampu untuk menjalani kehidupan yang penuh onar dan duri ini tanpa berputus asa dari rahmat-Nya.

Hal ini kerana, Allah s.w.t merupakan sang Pencipta yang kaya dengan rahmat serta kasih sayang khususnya kepada hamba-hambanya yang bersusah payah dalam memastikan amal kebajikan di dunia dikutip dengan sebanyaknya walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran.


Justeru, walau sesesak mana pun keadaaan, istiqamah lah untuk buat kebaikan. 





AL-QURAN BUKAN KISAH DONGENG

09:54 0 Comments
Al-quran merupakan manual kehidupan kepada setiap manusia yang wujud di muka bumi ini. Di dalam Al-quran juga tidak terhad dengan tuntutan dan tegahan semata-mata tetapi diselitkan dengan pelbagai kisah para umat terdahulu dan akan datang. 

Hal ini menjadikan Al-quran sebagai suatu ilmu yang meliputi masa silam dan masa akan datang. Setiap huruf Al-quran yang dibaca membawa kepada pahala dan dengan menghafalnya akan meningkatkan darjat seseorang hamba. 

Oleh itu, kewajipan ke atas setiap muslim untuk membaca dan memahami isi kandungan Al-quran bagi memastikan setiap anjuran dan tegahan yang Maha Kuasa dapat ditaati dan dijauhi dalam mengejar redha-Nya.


MALAS BELAJAR MENJADIKAN SESEORANG ITU JAHIL

09:52 0 Comments
Ilmu merupakan penyuluh kehidupan yang sentiasa menyinari cahaya kegelapan yang dibawa oleh sifat kejahilan di dalam diri manusia yang leka dan alpa. Sesungguhnya, Al-quran juga merupakan gedung ilmu yang perlu dikaji dan difahami bagi memastikan umat Islam tidak tergelincir dari landasan syarak yang sebenar. 

Jika diteliti sejarah penurunan Al-quran kepada kekasih kesayangan kita iaitu Rasulullah s.a.w adalah didahulukan dengan ayat awal surah Al-Alaq iaitu dengan lafaz kalimah “Bacalah”. Hal ini boleh dirujuk melalui firman Allah s.w.t dalam Surah Al-'Alaq ayat 1 yang bermaksud :

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."

Justeru, Islam sememangnya mewajibkan umatnya dalam memperhebat diri untuk mendalami pelbagai ilmu pengetahuan sama ada berbentuk fardu ain mahupun fardu kifayah. Hal ini kerana, setiap ilmu yang dipelajari mampu memantapkan jati diri seseorang manusia untuk lebih mengenali Allah s.w.t. Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu sebagaimana pentingnya udara kepada paru-paru untuk bernafas maka ilmu juga penting kepada akal fikiran dalam memastikan setiap perilaku kita berlandaskan tuntutan Islam.


NAK BERDAKWAH KENA BANYAK BERSABAR

09:42 0 Comments
Sudah menjadi lumrah kehidupan seorang muslim sebagai pendakwah dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan dari pelbagai aspek kehidupan sama ada dalam kalangan sahabat mahupun kelompok masyarakat. Sesungguhnya, jalan dakwah merupakan suatu jalan yang berliku-liku dan penuh onar serta cabaran namun dipenghujungnya penuh dengan kebaikan dan kenikmatan. Justeru, sememangnya sebagai pendakwah adalah wajib dalam menempuhi setiap cabaran yang mendatang dengan tenang tanpa berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. 

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud :


“ …dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir” 

Sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang muslim dalam berdakwah dan menyampaikan amanat yang ditinggalkan para nabi dan rasul terdahulu. Sesungguhnya, para utusan Allah s.w.t juga tidak terlepas dari mendapat tentangan dan kecaman khususnya dari kaum kerabat dan masyarakat mereka sendiri. Sebagaimana ujian yang dihadapi Nabi Muhammad s.w.t yang dilempar najis semasa menunaikan solat di hadapan Kaabah. Tidak terkecuali Nabi Ibrahim yang diseksa dengan tentangan kaumnya sehingga dibakar hidup-hidup di dalam api yang marah. Disamping itu, Nabi Yusuf yang dipulaukan saudara sedarah sehingga dibuang ke dalam perigi. Namun disebalik ujian dan cabaran yang sudah disediakan Allah s.w.t terdapat sinar kecemerlangan dan kebahagian bagi umatnya yang teguh dalam menumpuh ujian dan cabaran yang telah disediakan tersebut.




Saturday 24 March 2018

JANGAN BERJANJI KALAU TIDAK MAMPU TUNAIKAN

11:22 0 Comments
JANJI. Sesuatu yang mudah diungkap tetapi sukar dilaksanakan. Ramai orang yang mampu untuk berjanji tetapi sukar untuk tunaikan. Jangan sesekali memandang remeh tentang perjanjian yang telah dibuat. Kerana janji itu sangat berat. Janji adalah akad, yang mana ianya merupakan ikatan antara kedua belah pihak, baik yang mengucap janji mahupun yang menerima janji. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Maidah ayat 1:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji.” 

.
Justeru, kita perlu berhati-hati dalam mengucapkan janji. Sekiranya tidak mampu untuk laksanakan sesuatu perkara itu janganlah mengotakan janji. Cukuplah sekadar yang termampu sahaja. 

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.”
 (HR. Bukhari-Muslim)



Friday 23 March 2018

BERBUAT BAIK DIBALAS BAIK

07:03 0 Comments
Naluri dan fitrah manusia pasti tertanam benih-benih kebaikan dan pastinya ada keinginan untuk berbuat kebaikan. Setiap perkara baik, pasti akan dibalas dengan kebaikan meskipun perbuatan itu hanya sekadar senyuman. Dalam al-Quran juga ada menyebut bahawasanya Allah akan membalas setiap perbuatan hambanya tidak kira perbuatan itu yang baik mahupun buruk. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Ahqaf ayat 14 :

أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيها جَزَاءً بِما كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.” 

Di dalam surah ini Allah SWT menggambarkan balasan-balasan yang akan diterima oleh mereka yang membuat kebaikan. Allah menyebut bahawa mereka yang melakukan kebaikan akan mendapat syurga dan kekal didalamnya. Semoga kita sama-sama tergolong dari kalangan itu. InsyaAllah.

Ramai yang selalu memandang remeh berkaitan hal yang simple. Sedangkan perkara yang simple itulah memberi manfaat buat kita. Contohnya memberi salam dan senyum. Ramai yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan seperti sedekah kerana ingin mendapat balasan kebaikan di akhirat nanti sedangkan ramai yang ambil mudah dan tidak pedulikan sekecil-kecil perkara yang juga dapat memberikan manfaat. 

Jadi, jangan sesekali kita meremehkan sesuatu perbuatan yang baik meskipun ianya sekadar senyuman. Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan kerana janji Allah SWT itu pasti.




ALLAH UJI TANDA SAYANG BUKAN BENCI

04:22 0 Comments
Tiada manusia yang tidak punyai masalah. Semua orang ada masalah sendiri. Cumanya kita sebagai hamba kena bijak untuk tangani masalah itu dengan sebaiknya. Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran bila mana manusia bertanya akan ujian yang selalu mendatangi dirinya. Lalu Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud :

 “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” 

Sebagai seorang mukmin setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah dengan ‘innalillahi wa inna illahi rojiun’ yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Tapi jarang sekali kita akan menyebut perkataan tu. Selalunya pasti akan merenung dan akhirnya mengeluh. 

Setiap dari kita pasti tak lari dari diuji. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada yang diuji dengan kekayaan, ada yang diuji dengan kematian, ada juga yang diuji dengan kesakitan dan sebagainya. Pelbagai ujian yang datang bukan bermaksud Allah SWT membenci kita, malah sebenarnya Allah SWT sayangkan kita. Mungkin kita terlalu mengejar dunia sehinggakan kita lupa sebenarnya Allah SWT rindukan kita. Renung kembali silap kita dan solat kita. Kalau solat fardhu pun jarang sekali apatah lagi yang sunat. 

Ujian yang pelbagai ini sebenarnya membuatkan kita lebih kuat dan belajar untuk bersabar. Selain dari kita mendidik hati untuk lebih bersifat terbuka dalam menerima apa jua dugaan. Anggaplah ujian yang datang kepada kita itu tanda Allah SWT kasih akan kita.

Bersabarlah kerana Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Jadi, sentiasalah berlapang dada dalam menerima setiap ujian dan dugaan dalam hidup sebab setiap ujian yang datang bukanlah satu perkara yang sia-sia tetapi pasti ada hikmah disebaliknya. Setiap ujian yang berlaku pasti ianya pahit tetapi akan menjadi satu kenangan bila dikenang kelak.