Friday 23 March 2018

ALLAH UJI TANDA SAYANG BUKAN BENCI

Tiada manusia yang tidak punyai masalah. Semua orang ada masalah sendiri. Cumanya kita sebagai hamba kena bijak untuk tangani masalah itu dengan sebaiknya. Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran bila mana manusia bertanya akan ujian yang selalu mendatangi dirinya. Lalu Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud :

 “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi?” 

Sebagai seorang mukmin setiap ujian yang terjadi kepada kita ucapkanlah dengan ‘innalillahi wa inna illahi rojiun’ yang bermaksud “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Tapi jarang sekali kita akan menyebut perkataan tu. Selalunya pasti akan merenung dan akhirnya mengeluh. 

Setiap dari kita pasti tak lari dari diuji. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada yang diuji dengan kekayaan, ada yang diuji dengan kematian, ada juga yang diuji dengan kesakitan dan sebagainya. Pelbagai ujian yang datang bukan bermaksud Allah SWT membenci kita, malah sebenarnya Allah SWT sayangkan kita. Mungkin kita terlalu mengejar dunia sehinggakan kita lupa sebenarnya Allah SWT rindukan kita. Renung kembali silap kita dan solat kita. Kalau solat fardhu pun jarang sekali apatah lagi yang sunat. 

Ujian yang pelbagai ini sebenarnya membuatkan kita lebih kuat dan belajar untuk bersabar. Selain dari kita mendidik hati untuk lebih bersifat terbuka dalam menerima apa jua dugaan. Anggaplah ujian yang datang kepada kita itu tanda Allah SWT kasih akan kita.

Bersabarlah kerana Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Jadi, sentiasalah berlapang dada dalam menerima setiap ujian dan dugaan dalam hidup sebab setiap ujian yang datang bukanlah satu perkara yang sia-sia tetapi pasti ada hikmah disebaliknya. Setiap ujian yang berlaku pasti ianya pahit tetapi akan menjadi satu kenangan bila dikenang kelak. 






No comments:

Post a Comment